Perkasa seni silat, bentuk generasi berakhlak

Generasi muda perlu membudayakan disiplin tinggi serta memelihara maruah dan harga diri / Foto RTM

KUANTAN, 3 April – Pemerkasaan seni silat khususnya kepada generasi muda bukan sahaja berupaya membentuk akhlak serta displin diri, malah menanam roh perjuangan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendekar MADANI dianggap pendekatan holistik mengangkat generasi muda bersemangat mempertahankan negara dan harga diri bangsa.
  • Kemerdekaan sebenar menuntut keberanian menentang rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penindasan terhadap sesama.
  • Perdana Menteri menyampaikan Anugerah Pendekar dan Srikandi MADANI kepada bekas atlet silat negara sebagai pengiktirafan jasa.

Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin pembentukan “Pendekar MADANI” merupakan pendekatan holistik mengangkat generasi muda yang mempunyai semangat mempertahankan negara dan harga diri bangsa.

“Kemerdekaan yang sebenar menuntut keberanian menentang rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penindasan sesama sendiri.

“Generasi muda perlu membudayakan disiplin tinggi serta memelihara maruah dan harga diri, selaras pegangan akidah yang kukuh dan semangat perjuangan Islam,”kata Datuk Seri Anwar sempena Majlis Perasmian Kejuaraan Silat Piala PMX Pendekar Madani yang berlangsung sehingga 5 April di Kompleks Sukan Pahang (SUKPA), di sini.

Pada majlis ini, Perdana Menteri menyampaikan Anugerah Pendekar MADANI Pahang kepada bekas atlet silat negara Fazly Mansoh, manakala Anugerah Srikandi MADANI Pahang kepada bekas atlet negara, Suzy Mohd Sulaiman.