CHANGKAT JERING, 11 November- Pemerkasaan infrastruktur bagi sektor pelancongan antara tumpuan dalam pembentangan Belanjawan Perak 2025, hujung November ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata ia bagi membuat persediaan menjelang Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
"Dalam mesyuarat exco itu, kita putuskan YB Loh supaya melihat jika ada keperluan untuk membuat persiapan. Contohnya, kita memerlukan jeti. Maka, kena buat tahun depan.
Mana-mana infrastruktur yang kita fikirkan perlu. Infra itu perlu, diguna untuk menerima pelancong pada tahun 2026. Maka kena buat depan. Jadi, sebab itu ada peruntukan yang kita ambil kira untuk portfolio pelancongan," kata Datuk Seri Saarani kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, bagi Belanjawan Negeri 2025 setiap portfolio akan menerima peruntukkan yang lebih berbanding tahun sebelumnya.
Datuk Seri Saarani ditemui media pada Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan (HBP) Kerajaan Negeri Siri Lapan di Dewan Bunga Raya, di sini.
Sebanyak 199 aduan rakyat telah diterima pada program tersebut antara yang tertinggi dicatatkan sepanjang penganjurannya.