fb fb fb fb fb

Mohd Dusuki dilantik sebagai Peguam Negara baharu

Datuk Mohd Dusuki Mokhtar

PUTRAJAYA, 11 November- Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara (AGC) Datuk Mohd Dusuki Mokhtar dilantik sebagai Peguam Negara baharu, berkuat kuasa esok.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam satu kenyataan, memaklumkan perkara itu hari ini.

Mohd Dusuki, 57 akan menggantikan Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh yang dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.

Beliau telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selaras dengan Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Shamsul Azri, Mohd Dusuki mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Ijazah Sarjana Undang-Undang dari University of Wollongong, Australia.

Beliau juga mempunyai pengalaman luas selama 31 tahun dalam perkhidmatan perundangan di AGC.

Sementara itu, Shamsul Azri turut mengucapkan penghargaan kepada Ahmad Terrirudin atas perkhidmatannya selama memegang jawatan sebagai Peguam Negara sejak 6 September 2023.

1111 PEGUAM NEGARA CLOCK OUT 2Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh

Dalam pada itu Peguam Negara Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana memberi peluang kepada beliau dalam menerajui Jabatan Peguam Negara (AGC).

"Terima kasih kepada kerajaan kerana memberi saya peluang menerajui Jabatan Peguam Negara (AGC). Esok saya akan angkat sumpah, terima kasih semua," katanya ringkas kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam majlis daftar keluar dari pejabatnya di sini kira-kira pukul 4.35 petang dengan disaksikan Mohd Dusuki yang akan menggantikannya.

Datuk Ahmad Terrirudin dilantik sebagai Peguam Negara pada 6 September 2023 menggantikan Tan Sri Idrus Harun yang tamat tempoh lantikan secara kontrak pada 5 September 2023.

Beliau memulakan kerjaya sebagai pegawai undang-undang pada 1992 sudah berkhidmat di pelbagai kedudukan termasuk Hakim Mahkamah Sesyen dan kemudian dilantik Pengerusi Mahkamah Perusahaan di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Beliau juga pernah menjadi Timbalan Ketua Jabatan Sivil di Pejabat Peguam Negara dan berkhidmat sebagai penasihat undang-undang Kedah sebelum dilantik Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada 2019.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI