KUALA LUMPUR, 11 November- Kementerian Pendidikan (KPM) kekal memansuhkan peperiksaan UPSR dan PT3.
Menterinya, Fadhlina Sidek dalam sesi penggulungan menegaskan KPM tidak akan berpatah balik kerana peperiksaan berkenaan tidak lagi relevan.
KPM akan memperkasakan pentaksiran Pendidikan Berasaskan Sekolah (PBS).
"Saya tegaskan bahawa kita akan perkukuhkan UASA ini sebagai sebahagian daripada konteks untuk pentaksiran, bagi ibu bapa yang masih merasakan anak-anak perlu dinilai melalui peperiksaan dan ia bersifat 'low stake'.
Kita nak bergerak melalui proses injak berorientasikan peperiksaan kepada pentaksiran ini memang memerlukan masa," kata Fadhlina di Parlimen, hari ini.
Fadhlina berkata PBS bersifat lebih holistik merangkumi pentaksiran berorientasikan perkembangan murid secara keseluruhan malah memfokuskan pembelajaran yang bukan hanya tertumpu kepada gred dan markah peperiksaan.
Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir dalam sesi penggulungan memaklumkan hasrat menyediakan lebih banyak penajaan di peringkat program sub kepakaran dan sabatikal pada masa depan.
Ini sekali gus memartabatkan pendidikan tinggi negara, serta meningkatkan kepakaran dan kompetensi pensyarah universiti awam (UA) seiring teknologi dan keperluan semasa.
Dalam perkembangan lain, kementerian melalui Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sedang mengadakan perbincangan bersama Kementerian Pertahanan untuk membangunkan projek khas Work Base Learning 2.0.
Ia berkaitan pemetaan kurikulum program dengan pengalaman dan perkhidmatan anggota tentera yang dapat membantu meningkatkan kemahiran mereka.