KUALA LUMPUR, 11 November- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sedia mengadakan perbincangan lanjut berkaitan isu penyelarasan gaji minimum bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Langkah itu dilaksana dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
Menterinya, Datuk Ewon Benedick dalam sesi penggulungan berkata inisiatif lain akan diperincikan bagi memastikan kesan kenaikan gaji minimum terhadap PMKS dapat dikurangkan.
"KUSKOP mengambil perhatian serius terhadap kesan kenaikan gaji terhadap syarikat milik usahawan PMKS dan menyedari bahawa peningkatan gaji minimum secara umumnya akan memberi kesan kepada aliran tunai dan kos operasi perniagaan mereka.
Terdapat juga kemungkinan pengurangan pengambilan pekerja bg memastikan kos yg efektif," kata Datuk Ewon di Parlimen, hari ini.
Peningkatan gaji minimum, secara tidak langsung menggalakkan PMKS memberi perhatian terhadap aspek pendigitalan dan automasi dalam menjalankan operasi syarikat untuk faedah jangka panjang.
Dalam pada itu, dari Januari hingga September 2024, seramai 10,515 usahawan memperoleh pembiayaan berkumpulan di bawah Program Skim Teman Tekun melibatkan pembiayaan RM81.3 juta.
Sementara, 2,451 penjaja dan peniaga kecil menerima Pembiayaan Mikro-i Penjaja dan Peniaga Kecil (MPPK 2.0) oleh Bank Rakyat melibatkan pembiayaan RM49.76 juta.