fb fb fb fb fb

Perjanjian tarif Malaysia–AS pemacu lembaran baharu

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 2 November - Perjanjian tarif baharu antara Malaysia dan Amerika Syarikat disifatkan sebagai pemacu lembaran baharu hubungan dua hala.

Ia bukan sahaja memperkukuh perdagangan dan pelaburan, tetapi juga menjamin kepentingan strategik negara dalam bidang ekonomi dan keselamatan.

Menurut Penganalisis Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa Universiti Malaya, Collins Chong Yew Keat, langkah itu akan membuka peluang pelaburan serta pemindahan teknologi berimpak tinggi antara Malaysia dan Washington.

Katanya, perjanjian berkenaan juga menjadi pemangkin kepada pembangunan sektor berimpak tinggi seperti ekonomi digital, ekonomi hijau serta industri semikonduktor dan mineral kritikal termasuk bahan nadir bumi.

“Malaysia akan meraih manfaat suntikan pelaburan dan teknologi tinggi daripada Washington, sekali gus membuka peluang baharu serta meningkatkan pendapatan negara.

"Perjanjian itu juga diyakini mampu memperluas pelaburan dan eksport Malaysia ke pasaran Amerika Syarikat dimana ia adalah pasaran terbesar dunia dengan lebih 300 juta penduduk dan kuasa beli tertinggi.

"Sekali gus memberi kelebihan kepada Malaysia untuk menembusi pasaran tersebut melalui peningkatan eksport barangan tempatan," katanya.

Tambahnya, kerjasama dua hala itu bukan sahaja menjamin kepentingan perdagangan dan pelaburan, tetapi juga memperkukuh payung keselamatan serantau melalui hubungan strategik yang saling melengkapi antara Malaysia dan Washington.

"Perjanjian itu akan memberi pulangan positif melalui usaha berterusan antara Malaysia dan Amerika Syarikat dalam menjamin kepentingan bersama di rantau ini, termasuk aspek keselamatan dan kestabilan serantau.

"Kerjasama itu turut membuka peluang kepada pemindahan ilmu, modal serta pembangunan modal insan, yang secara tidak langsung membantu Malaysia menuju status negara berpendapatan tinggi," katanya.

Collins berpendapat, perjanjian tersebut akan memberi manfaat jangka panjang kepada Malaysia, bukan sahaja dalam peningkatan daya saing industri, tetapi juga dalam membina asas ekonomi baharu berteraskan teknologi tinggi dan keselamatan serantau yang mampan.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN