KUALA LUMPUR, 15 November - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan kesediaan dan jaminan Kerajaan Kemboja serta Kerajaan Thailand untuk memilih dan meneruskan dialog dan usaha diplomatik bagi memastikan pelaksanaan penuh dan berkesan Perjanjian Damai Kuala Lumpur.
Ia sekali gus memulihkan keamanan, keselamatan dan kestabilan di kawasan sempadan.
Menerusi perkongsian di Facebook, Datuk Seri Anwar turut menghargai peranan proaktif dan penglibatan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dalam menggalakkan penyelesaian damai terhadap situasi berkenaan.
"Saya juga mengalu-alukan komitmen Kerajaan Kemboja dan Kerajaan Thailand untuk memastikan penyingkiran senjata serta peralatan berat dan merosakkan di kawasan sempadan secara tepat pada masanya dan berkesan.
"Saya turut mengalu-alukan jaminan Perdana Menteri Hun Manet dan Perdana Menteri Anutin Charnvirakul untuk mengelakkan sebarang tindakan yang dianggap provokatif, serta mengambil langkah yang dapat meningkatkan keyakinan dan kepercayaan bersama ke arah memulihkan hubungan dua hala yang lebih produktif antara kedua-dua negara," katanya.