fb fb fb fb fb

Perintah berkurung perairan Sabah dinamakan semula sebagai PKP Esszone

(FOTO HIASAN / BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 16 Oktober- Perintah Kawalan Pergerakan Zon Keselamatan Timur Sabah (Esszone) akan berkuat kuasa sebaik perintah berkurung laut Sabah tamat pada 6 petang esok (17 Oktober).

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata perkara itu diputuskan berikutan penilaian keselamatan terkini oleh Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan negeri Sabah.

Beliau berkata, perintah baharu itu meliputi perairan Lahad Datu, Kunak, Semporna, Sandakan, Kinabatangan dan Beluran.

“Tawau, yang sebelum ini dimasukkan, kini telah dikeluarkan daripada senarai kerana statistik menunjukkan tahap ancaman yang rendah dan kawalan keselamatan yang memuaskan,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, perintah berkurung sebelum ini dilaksanakan pada 16 Julai 2014, bagi menangani ancaman pencerobohan bersenjata oleh militan Sulu dan kumpulan culik untuk tebusan.

“Memandangkan keperluan keselamatan, perintah berkurung kemudiannya diperluaskan meliputi perairan Tawau, Kinabatangan dan Beluran.

“Berkuat kuasa Selasa pukul 6 petang, Perintah Kawalan Pergerakan Esszone Sabah No. 1 akan dikuatkuasakan untuk diteruskan daripada perintah berkurung laut Sabah No. 220 yang tamat pada hari yang sama,” katanya.

Razarudin berkata arahan itu perlu bagi memastikan perairan timur Sabah tidak diceroboh atau terancam.

“Pelaksanaannya akan menjamin keselamatan dan kesejahteraan penduduk di kawasan Esszone.

“Polis Diraja Malaysia memberi jaminan bahawa tahap keselamatan di Sabah kekal terkawal dan akan memastikan semua langkah diambil untuk memerangi sebarang jenayah rentas sempadan, penculikan atau penyeludupan,” katanya.


(Tan Sri Razarudin Husain)

Media Baharu