KUALA LUMPUR, 16 Jun - Kerajaan perlu memperinci jenis kesalahan jenayah yang akan dimansuhkan hukuman mati mandatori.
Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Profesor Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz, berkata ini kerana butiran mengenai perkara itu belum dinyatakan dengan jelas buat masa ini.
"Apa yang dinyatakan dalam sidang akhbar sebelum ini secara umum sahaja iaitu hukuman mati mandatori dihapuskan tetapi adakah semua kesalahan membabitkan hukuman mati mandatori akan diubah?
"Kesalahan lain contohnya kesalahan terhadap tubuh Yang di-Pertuan Agong, Raja di negeri dan Yang Dipertua Negeri adakah hukuman mati mandatori di bawah seksyen ini juga akan dihapuskan? Kalaulah orang itu bunuh Raja, adakah orang itu dihukum penjara seumur hidup sahaja? Ini sangat berbahaya kepada negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel jemputan program Ruang Bicara terbitan BERNAMA TV bertajuk 'Mansuh Hukuman Mati Mandatori: Satu Transformasi Undang-Undang' di sini, malam ini.
(Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Profesor Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz)
Shamrahayu berkata, perincian itu juga diperlukan kerana kerajaan akan menjalankan kajian awam berhubung kewajaran pelaksanaan hukuman mati mandatori.
"Saya fikir jenis-jenis kesalahan yang terlibat perlu dibawa kepada pengetahuan masyarakat, jangan sorok, kena telus... kadang-kadang rakyat perlukan pendidikan berkaitan undang-undang lebih mendalam, bukan saya kata rakyat tidak tahu tetapi penjelasan lebih mendalam mengenai sesuatu isu itu perlu.
"Selain itu, pemansuhan hukuman mati mandatori ini bergantung kepada kehendak rakyat, kalau masyarakat masih lagi rasa hukuman mati mandatori itu perlu, saya fikir pandangan masyarakat harus diambil kira sebab ia bukan sahaja membabitkan kepentingan negara tetapi juga rakyat," katanya.
Jumaat lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah.
Perkara itu dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori oleh beliau pada mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Jun lalu. – BERNAMA