MAKKAH, 16 Jun - Amalan dan kesedaran untuk mendaftar dari awal, selain niat untuk mengerjakan haji sekeluarga menjadi kenyataan apabila dapat mengerjakan rukun Islam kelima itu pada tahun ini.
Beberapa Jemaah yang ditemui memanjatkan kesyukuran kerana niat untuk mengerjakan haji bersama-sama ahli keluarga terbalas apabila mendapat panggilan dari Tabung Haji.
Rata-rata mereka mendaftar dan menabung bersama Tabung Haji dari awal, disamping tidak berputus asa membuat rayuan agar dapat beribadah bersama di kota suci Makkah dan Madinah.
"Selepas kelahirana anak ketiga, kami daftar bersama dan kami menabung hampir setiap bulan untuk semua, bukan sahaja untuk anak-anak namun untuk kami sebagai suami isteri," kata jemaah haji Ahmad Kami Harun kepada RTM.
Sementara itu, Rusiah Abdul Kadir berkata mereka sepatutnya menunaikan ibadah haji berlima namun dua orang lagi anaknya terpaksa menolak disebabkan masa yang tidak sesuai.
Andi Nur Irdina Muhamad pula hanya dapat datang bertiga bersama ibu dan abang tanpa ayahnya kerana telah melebihi usia yang telah ditetapkan. Namun abangnya, Andi Muhamad Zulzharif bertindak sebagai ketua keluarga ketika mereka di tanah suci.
"Ramai yang bertanya bagaimana saya boleh menunaikan haji ketika usia muda, Alhamdulillah berkat perancangan daripada ibu ayah yang menabung dari kecil saya dapat jadi tetamu Allah. Moga menjadi satu semangat kepada sahabat-sahabat di luar untuk meneruskan dengan menabung dan mendaftar dengan Tabung Haji lebih awal agar menjadi tetamu Allah," kongsi Andi Muhamad.
Manakala, faktor kewangan yang lebih pula membolehkan Jamaluddin Mohd Noor membawa keluarga bersama menunaikan haji pada tahun ini.
"Saya sebenarnya nak mendaftar dengan isteri pada tahun 2008, tapi kebetulan pada ketika itu saya ada kewangan lebih, maka saya daftarkan serentak untuk ketiga-tiga anak saya sekali," katanya.