KOTA BELUD, 4 Julai - 12 kampung masing-masing menerima peruntukan RM1 juta menerusi Program Kampung Angkat MADANI bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Menteri berkenaan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, program itu memberi impak secara langsung kepada rakyat.
Tiga elemen utama diberi penekanan iaitu keselamatan, kemudahan infrastruktur, serta penyampaian maklumat dasar kerajaan secara terus kepada komuniti.
Turut dilaksanakan menerusi peruntukan yang diterima ialah pembinaan pos kawalan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), serta rondaan keselamatan kampung.
"Menerusi Kampung Angkat MADANI bawah KDN, 10 agensi akan turun untuk buat program ini di kampung-kampung, ditambah pula dengan seorang menteri dan seorang timbalan, menjadikan kira-kira 12.
"Kelebihan program ini adalah peruntukan RM1 juta itu kita perturunkan terus kepada kampung dengan penglibatan daripada pemimpin setempat dan agensi-agensi kawasan yang berkenaan".
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI di sini, hari ini.