fb fb fb fb fb

Perikanan Kedah tahan dua bot tunda Zon C ceroboh kawasan tidak dibenarkan

FOTO Jabatan Perikanan Kedah

YAN, 4 Oktober- Dua buah bot pukat tunda Zon C dan peralatan menangkap ikan bernilai kira-kira RM1 juta disita Jabatan Perikanan Negeri Kedah selepas dikesan menceroboh kawasan tidak dibenarkan.

Kedua-dua bot berkenaan ditahan oleh anggota Pangkalan Konservasi dan Perlindungan Perikanan (KOPP) Langkawi di perairan Pulau Bidan, Yan iaitu antara jarak 3.5 batu nautika hingga 3.6 batu nautika daripada daratan atau pulau terhampir.

Pengarah Perikanan Negeri Kedah, Sukri Deris berkata dalam operasi itu, seramai 10 nelayan warganegara Thailand yang bekerja di atas bot nelayan tempatan telah ditahan.

Hasil tangkapan berjumlah 600 kilogram bernilai hampir RM4,000 turut dirampas.

Kes-kes tersebut telah diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Perikanan Pejabat Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan Negeri Kedah untuk tindakan lanjut bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 bawah kesalahan cubaan menangkap ikan kurang 15 batu nautika dari pantai.

Sukri mengingatkan para nelayan agar tidak bertindak sewenang-wenangnya menceroboh kawasan berhampiran pantai kerana ianya akan mengakibatkan berlakunya penurunan sumber perikanan yang drastik di kawasan perairan berdekatan pantai apabila anak-anak ikan terperangkap dalam pukat tunda yang digunakan.

Kawasan pesisir pantai perlu dipelihara kerana ianya salah satu kawasan yang sangat penting sebagai kawasan nurseri tumbesaran anak ikan pelbagai spesies ikan marin. 

Kegiatan pencerobohan ini akan membantutkan segala usaha pihak jabatan dalam memastikan sumber perikanan negeri ini senantiasa terpelihara dan diuruskan secara mapan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE