KUALA LUMPUR, 13 Mei- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) merekodkan 4,919 aduan konflik manusia dan gajah bagi tempoh 2020 hingga 2024.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata konflik sama turut merekodkan kerugian harta benda dianggar berjumlah RM39.4 juta.
"Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, lapan gajah direkodkan mati akibat road kill (dilanggar kenderaan) di Semenanjung, termasuk tiga yang berlaku tahun ini," katanya dalam kenyataan.
Nik Nazmi berkata, kajian pada 2016 mendapati kawasan keliaran gajah berkurangan 68 peratus akibat perubahan guna tanah untuk pertanian, perladangan serta pembangunan infrastruktur seperti jalan raya dan penempatan.
"Kematian seekor anak gajah dilanggar kenderaan pada 11 Mei lalu di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) sempadan Gerik, Perak-Jeli, Kelantan menyentuh hati ramai rakyat Malaysia.
"Ia bukan sekadar kemalangan tragis tetapi mencerminkan cabaran besar hubungan antara manusia dan alam, khususnya dalam usaha kita mengekalkan kelangsungan hidup spesies liar dalam landskap yang semakin terpisah dan kehilangan kesinambungan semula jadi.
"JRTB adalah laluan penting merentasi habitat gajah liar antara hutan utama di Perak dan Kelantan.
"Lokasi ini dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi bagi pertembungan antara manusia dan hidupan liar khususnya gajah," katanya.
Beliau berkata, hutan yang menjadi habitat utama gajah adalah di bawah bidang kuasa negeri seperti termaktub dalam Perkara 74(2) Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, penyelesaian jangka panjang memerlukan kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.