fb fb fb fb fb

Perdana Menteri rai 1,019 warga JPM cemerlang, persara di majlis apresiasi

FOTO BERNAMA

PUTRAJAYA, 26 Jun- Seramai 1,019 warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang cemerlang dan bersara diraikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini sempena Majlis Apresiasi Tahun 2024 Jabatan Perdana Menteri.

Majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu, adalah sebagai pengiktirafan dan penghargaan kepada warga JPM yang telah menunjukkan prestasi cemerlang di samping meraikan pesara atas segala sumbangan bakti sepanjang perkhidmatan.

Penganugerahan, bertujuan menggalakkan penjawat awam untuk terus memberikan komitmen dan daya usaha dalam mempertingkatkan mutu kerja dan produktiviti bagi memacu pembangunan negara.

Penerima terdiri daripada lima penerima Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC) tahun 2021 hingga 2023, 881 orang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) tahun 2023 dan 133 pesara bagi tahun 2024.

Perdana Menteri dalam ucapannya menegaskan bahawa perkhidmatan awam adalah tonggak kepada pentadbiran negara dan ia tidak akan berubah meskipun kerajaan atau pemimpin bertukar ganti.

“Justeru, penjawat awam perlu terus komited, berdedikasi, ikhlas serta memiliki integriti yang tinggi sewaktu menjalankan tanggungjawab,” katanya.

Anwar berkata pengiktirafan kerajaan kepada warga JPM pada hari ini adalah berdasarkan kepada mutu dan kualiti perkhidmatan yang cemerlang dalam memikul tanggungjawab yang diamanahkan.

Pemilihan penerima anugerah ini telah melalui penilaian yang komprehensif mencakup prestasi kerja yang cemerlang, sumbangan melebihi tanggungjawab sebenar, rekod kehadiran serta tatakelakuan dan sumbangan luar pegawai, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE