fb fb fb fb fb

Perdagangan ASEAN–UK terus catat perkembangan positif

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 25 September -Hubungan perdagangan ASEAN–United Kingdom (UK) terus mencatat perkembangan positif dengan jumlah dagangan kedua-dua pihak mencecah lebih £53 bilion (RM323 bilion) tahun lalu, meningkat hampir 10 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Timbalan Setiausaha Parlimen di Jabatan Sains, Inovasi dan Teknologi UK, Liz Lloyd berkata, angka itu jelas menunjukkan kesungguhan dalam memperkukuh kerjasana ekonomi bersama.

"Dalam masa tiga tahun, UK berbangga menjadi pelabur keempat terbesar di ASEAN, selain berjaya melaksanakan lebih 95 peratus daripada komitmen yang digariskan dalam Rancangan Tindakan 2022," katanya.

Menurutnya, UK akan terus menyokong aspirasi ASEAN dalam ekonomi digital melalui Program Inovasi Digital, selain meneroka perjanjian perdagangan digital bersama Malaysia dan Thailand, selain usaha sedia ada dengan Singapura.

Beliau turut menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA), selain mengaitkan penyertaan UK dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) sejak 2024 sebagai bukti komitmen negara itu terhadap integrasi ekonomi Indo-Pasifik.

Pada masa sama, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sejak UK diiktiraf sebagai rakan dialog ASEAN pada 2021, kerjasama dua hala semakin pesat berkembang merangkumi pelbagai bidang.

Katanya, ekonomi digital dan kelestarian kini menjadi agenda utama dalam pembangunan bersama, selaras dengan peningkatan aliran perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua pihak.

"Kami menghargai penglibatan UK dalam forum ASEAN, khususnya menerusi Program Integrasi Ekonomi ASEAN–UK (EIP) yang dilancarkan pada 2024. Program ini membantu memacu reformasi peraturan, kemudahan perdagangan termasuk perdagangan digital serta keterangkuman kewangan.

"Inisiatif ini membuktikan manfaat nyata daripada hubungan rakan dialog kita, selain komitmen bersama ke arah pertumbuhan inklusif dan lestari," katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada Mesyuaran Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN–UK (AEM-UK) kali kelima di sini.

Tambah beliau, Deklarasi Bersama Menteri ASEAN–UK mengenai Kerjasama Ekonomi Masa Hadapan yang dipersetujui pada 2021 menjadi kerangka penting dalam memperkukuh kerjasama.

TETITIA YUSOFF