fb fb fb fb fb

Perbelanjaan DE Asas 2022 catat kadar 18.33% setakat 15 April - PM

(FOTO PMO)

KUALA LUMPUR, 21 April - Prestasi Perbelanjaan Peruntukan Pembangunan (DE) Asas Tahun 2022 setakat 15 April 2022 adalah pada kadar 18.33%.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkembangan tersebut dimaklumkan pada mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) kali pertama bagi tahun 2022.

Mesyuarat yang dipengerusikan beliau itu turut dihadiri empat Menteri Kanan serta Ketua Jabatan dan Agensi yang terlibat secara dalam talian.

Menerusinya, Jawatankuasa Pemudahcara Pelaksanaan Projek Pembangunan Negara (JP4N) diwujudkan bagi menangani cabaran-cabaran utama dalam pengagihan DE.

(Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan Rancangan Malaysia Ke-12 hari ini/PMO)

Ismail Sabri berkata, mesyuarat juga bersetuju supaya Ketua Setiausaha semua kementerian melaporkan status perbelanjaan DE kepada menteri masing-masing pada setiap bulan supaya tindakan segera dapat diambil bagi mempercepatkan pelaksanaan projek.

"Selaras dengan RMKe-12, Kerajaan telah menetapkan sasaran untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi pada tahun 2025. Mesyuarat pada hari ini telah meluluskan rangka kerja untuk memantau prestasi beberapa petunjuk untuk mencapai sasaran tersebut.

"Petunjuk ini merangkumi tiga komponen iaitu kemakmuran, inklusiviti dan kemampanan. Antaranya termasuklah pertumbuhan ekonomi dan peningkatan pendapatan isi rumah; peningkatan daya saing dan produktiviti serta peningkatan sumbangan industri berimpak tinggi kepada ekonomi.

"Selain pembasmian kemiskinan tegar; pembangunan negeri yang seimbang dan kemampanan dan daya tahan alam sekitar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri berkata, mesyuarat turut membincangkan strategi membasmi miskin tegar menjelang tahun 2025 dengan Fasa 1 Program Pembasmian Miskin Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) yang bermula pada bulan ini melibatkan 80 lokaliti dan kira-kira 5,000 ketua isi rumah (KIR).

Secara keseluruhan, sebanyak 1,000 lokaliti akan dipilih untuk pelaksanaan BMTKM sehingga penghujung tahun 2025.

"Pelaksanaan BMTKM menggunakan pendekatan baharu yang lebih holistik, bersepadu dan berfokus dengan memberi tumpuan kepada aktiviti penjanaan pendapatan dalam kalangan KIR miskin tegar secara mampan.

"Mesyuarat juga dimaklumkan berkenaan Perancangan Projek Tebatan Banjir yang berjumlah RM15 bilion bagi tempoh 8 Tahun (2023 hingga 2030). Kaedah pembiayaan projek-projek ini sedang diperincikan oleh Kementerian Kewangan.

"Perancangan secara holistik ini merangkumi projek jangka masa pendek/sederhana dan panjang," tambah kenyataan itu.

Media Baharu