fb fb fb fb fb

Malaysia rayu penambahan kuota haji - Idris

CYBERJAYA, 21 April - Malaysia akan cuba membuat rayuan penambahan kuota haji dalam masa terdekat kepada kerajaan Arab Saudi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata ini berikutan kebarangkalian terdapat negara yang menolak untuk menghantar jemaah.

Meskipun begitu, tiada jaminan rayuan ini akan diluluskan.

"Insya-Allah kita cuba merayu tetapi jaminan itu tidak boleh pasti, Insya-Allah, kita akan berusaha untuk merayu melalui kedutaan dan juga Tabung Haji," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada media pada program Semarak Kasih Ramadan Bersama Komuniti Disayangi, di sini malam ini.

(Idris Ahmad/FOTO BERNAMA)

Terdahulu, Idris mengumumkan kerajaan Arab Saudi telah menetapkan seramai 14,306 orang jemaah haji Malaysia diluluskan menunaikan haji tahun ini.

Jumlah tersebut adalah 45% daripada kuota tahunan yang biasa diterima sebelum ini iaitu 31,600 orang.

Dalam pada itu, pada program Semarak Kasih Ramadan Bersama Komuniti Disayangi yang dihadiri beliau, Idris menyampaikan sumbangan kepada 100 peserta yang terdiri daripada 85 orang penghuni rumah pemulihan Riqab Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan 15 wakil NGO Komuniti Hijrah di bawah Yayasan Ihtimam Malaysia.

Media Baharu