fb fb fb fb fb

Perbadanan khas rumah mampu milik perlu ditubuhkan segera


MARAN, 13 Februari- Satu perbadanan khas dianggotai semua pihak berkepentingan dalam melaksanakan pembinaan rumah mampu milik perlu ditubuhkan segera.

Cadangan itu adalah antara usul dikemukakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ketika mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Keluarga Malaysia (MPMMKM) bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Khamis lalu.

Timbalan Menteri KPKT, Datuk Seri Dr Ismail Abdul Muttalib berkata, buat masa ini terdapat kira-kira 15 agensi kerajaan yang mempunyai polisi tersendiri dalam membina projek perumahan awam kos rendah (PAKR) dan projek perumahan rakyat (PPR) dan ia menyukarkan pemantauan dan penyelarasan.

"Untuk makluman kita ada 15 agensi kementerian yang terlibat dengan pembinaan rumah ni sebab itu kabinet kerajaan telah bersetuju untuk selaraskan pembinaan rumah di negara kita ini sebab kita kalau tengok Kementerian Luar Bandar ada, Risda buat rumah, Felda pun ada buat rumah, begitu juga dengan Felcra dan MARA, jadi ada 15 agensi terlibat," kata Dr Ismail.

Menurutnya, KPKT bercadang terdapat keperluan untuk semua agensi kerajaan dan kerajaan negeri yang mempunyai program perumahan mampu milik untuk bersama-sama dalam satu perbadanan khas dan ia bertujuan memudahkan pemantauan pelaksanaan setiap projek perumahan yang dijalankan.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan sumbangan bantuan pasca banjir kepada 1,226 ketua isi rumah (KIR) dalam kawasan Parlimen Maran, di Pahang.

Beliau yang juga ahli Parlimen Maran memaklumkan, pengumuman kerajaan membina 500 ribu unit rumah mampu milik melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) adalah selaras dengan agenda menjadikan Malaysia sebagai negara berdaya huni, Satu Keluarga, Satu Rumah.

Media Baharu