fb fb fb fb fb

Perantau dinasihat guna laluan alternatif, elak kesesakan lalu lintas

GUA MUSANG, 30 April- Perantau dinasihatkan menggunakan laluan alternatif bagi mengelak kesesakan lalu lintas sempena perayaan Aidilfitri, walaupun laluan tersebut mengambil masa yang lebih lama.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo menyarankan agar mereka menggunakan laluan alternatif Gua Musang - Jeli bagi mengelak kesesakan lalu lintas yang teruk di Jalan Gua Musang-Kuala Krai.

Katanya, jalan alternatif Gua Musang - Jeli boleh dilalui dari Simpang Pulai - Cameron Highland - Jelawang.

"Kalau hari ini terdapat sembilan kes kemalangan ringan tidak melibatkan kecederaan parah iaitu lebih kepada kemalangan langgar belakang iaitu tidak dapat kita nafikan apabila banyak kenderaan akan menyebabkan kita kurang berhati-hati disebabkan mungkin kita penat dan terlampau lama kita memandu di atas jalan. Jadi nasihat pihak polis supaya pemandu ini sekiranya penat berhenti dulu agar rehat di hentian rehat dan rawat (R&R) supaya kita dapat tenaga semula," katanya.

Choon Foo berkata demikian selepas menyampaikan pek makanan kepada perantau pada program Ops Selamat Ke- 18 di Stesen Timbang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Tanah Putih, Gua Musang.


(Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo)

Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati ketika melalui tujuh kawasan kerap kemalangan.

Antaranya Jalan Persiaran Raya, Kilometer 20 - 35 Jalan Gua Musang - Kuala Krai dan Kilometer 56 - 58 Jalan Gua Musang- Kuala Krai.

Media Baharu