fb fb fb fb fb

Perang Ukraine lonjak pengeluaran dadah - PBB

(Kesan perang di Ukraine/Fail AFP)

VIENNA, 27 Jun- Perang di Ukraine boleh menggalakkan pengeluaran dadah secara haram, manakala masa depan pasaran candu pula banyak bergantung kepada Afghanistan yang kini dilanda krisis pentadbiran.

Pejabat Dadah dan Jenayah PBB (UNODC) dalam laporan tahunannya menyebut, ramalan itu berdasarkan apa yang pernah berlaku di Asia Barat dan Asia Tenggara, bahawa zon konflik boleh menjadi tarikan atau "magnet" untuk pengeluaran dadah sintetik.

"Kesannya menjadi lebih serius jika zon konflik berhampiran kawasan pasaran yang lebih besar."

UNODC menyebut, bilangan makmal amphetamine yang telah dibongkar di Ukraine meningkat daripada 17 pada 2019 kepada 79 pada 2020. Jumlah itu adalah tertinggi; makmal dadah yang disita di mana-mana negara pada 2020.

Menurut pakar UNODC, Angela Me kemampuan Ukraine untuk mengeluarkan dadah sintetik akan terus meningkat jika perang berlarutan.

"Anda tidak ada polis yang membuat pemantauan dan mengarahkan penutupan makmal di zon konflik," tambahnya.

Laporan itu turut menyatakan bahawa konflik boleh mengubah laluan lazim pengedaran dadah dan mencadangkan bahawa pengedaran dadah di Ukraine telah berkurangan sejak awal 2022.


(FOTO FAIL AFP)

Mengenai situasi di Afghanistan yang menghasilkan 86% pengeluaran candu dunia pada 2021, ini akan membentuk pasaran opiat (sebarang ubat yang diperbuat daripada candu atau mengandungi candu), tambah laporan tersebut.

Laporan sama turut menyatakan krisis kemanusiaan di Afghanistan juga secara tidak langsung dilihat memberi kelebihan kepada penanaman popi candu haram, meskipun pihak berkuasa Taliban telah mengharamkan amalan itu pada April lalu.

"Perubahan kepada pengeluaran candu di Afghanistan akan memberi implikasi kepada pasaran opiat di hampir semua wilayah di dunia," kata PBB.

Dianggarkan 284 juta orang menggunakan dadah pada 2021 atau seorang daripada setiap 18 orang yang berumur antara 15 hingga 64 tahun, menurut dapatan laporan tersebut.

Angka itu adalah 26% lebih tinggi berbanding 2010 dengan pertumbuhan penduduk hanya menyumbang sebahagian daripada perubahan itu.

Sementara itu pengeluaran kokain juga dilaporkan meningkat kepada rekod baharu pada 2020 iaitu 1,982 tan.

Meskipun kebanyakan pengguna dadah adalah lelaki, Me berkata wanita banyak menggunakan dadah perangsang jenis amphetamine yang kurang digunakan untuk rawatan.

Laporan UNODC itu berdasarkan maklumat yang diperoleh dari negara anggota, sumber sendiri dan analisis daripada laporan institusi, media dan sumber terbuka. -AFP

Media Baharu