fb fb fb fb fb

Perang mulut di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Pendang digantung 10 hari

Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim

KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama 10 hari bermula Isnin susulan tindakannya mencetuskan kekecohan serta didakwa mencabar seorang Ahli Parlimen lain untuk bergaduh minggu lalu.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, keputusan itu dibuat mengikut Peraturan 44(2) selepas meneliti bukti rakaman video dan audio insiden berkenaan.

Beliau menegaskan tindakan Ahli Parlimen berkenaan dianggap tidak senonoh dan memalukan, lebih-lebih lagi kejadian itu berlaku ketika pelajar sekolah yang hadir sebagai pelawat menyaksikan perbahasan dari Galeri Awam.

“Pertama, pada hari itu saya yang mempengerusikan sidang dan nampak apa berlaku. Kedua, saya amat kecil hati kerana di galeri itu penuh dengan budak sekolah.

"Kita sedang bercakap soal sopan santun anak-anak di sekolah, tetapi kita sendiri tunjuk perangai begitu di depan mereka,” katanya ketika mempengerusikan sidang, hari ini.

Johari turut menjelaskan tindakan wakil rakyat berkenaan disifatkan menghina Dewan Rakyat, selain mengingatkan semua Ahli Parlimen agar tidak mengeluarkan ungkapan yang mencetuskan permusuhan termasuk melabel parti tertentu sebagai ‘ajaran sesat’ atau mengkafirkan wakil rakyat lain.

“Sebaik masuk ke dewan ini, jangan guna perkataan yang mengguris hati dan mencetuskan permusuhan. Ia tidak beri manfaat dengan bermusuh-musuhan,” katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN