(Lakon semula adegan penyeludupan haiwan terancam di Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am Ulu Kinta, Ipoh)
IPOH, 7 Oktober- Peranan Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar (WCB) dan Perisikan Siasatan Khas (PSK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak terhad kepada usaha membanteras kegiatan pemburuan dan penyeludupan hidupan liar.
Sebaliknya Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, biro terbabit turut ditugaskan mengekang kegiatan mencuri khazanah serta sumber asli negara, termasuk unsur nadir bumi (REE).
Pihaknya akan menggunakan segala saluran undang-undang yang ada bagi memerangi kegiatan pemburuan haram dan mencuri khazanah berharga negara.
"Kita gunakan segala undang-undang yang ada terutama jika (pemburu) memiliki senjata api, kita akan gunakan akta senjata api, (selain itu) AMLA (Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001) dan SOSMA (Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012).
"Ia bagi mengambil tindakan ke atas mereka yang membuat aktiviti haram ke atas khazanah dan sumber asli dalam Malaysia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar dan Perisikan Siasatan Khas PDRM di Markas Briged Utara, Pasukan Gerakan Am, Hulu Kinta di sini.
Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar (WCB) ditubuhkan pada Mei 2022 bagi menyiasat serta mengekang kegiatan pemburuan serta penyeludupan hidupan liar khususnya Harimau Malaya.
Mereka dibantu oleh 69 Komando, Unit Tindakan Khas (UTK) dan Senoi Praaq.
(Razarudin Husain)