fb fb fb fb fb

Peranan PPPM mampu bimbing golongan muda, lahir tokoh berkualiti

Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail

KUALA LUMPUR, 17 November- Peranan Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) perlu diperkasa dalam memimpin golongan muda selain mengelakkan golongan itu terjerumus daripada melakukan perkara yang mendatangkan musibah kepada diri sendiri ataupun orang lain.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak yang juga selaku Yang Dipertua PPPM Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata sebagai organisasi yang telah melahirkan ramai tokoh, ahli PPPM perlu mendekati dan menasihati golongan muda agar tidak terpengaruh dengan kemajuan teknologi.

"Para pemimpin PPPM sekalian pastikan anda sentiasa menasihati ahli-ahli PPPM supaya tidak terjerumus melakukan perkara-perkara yang boleh mendatangkan musibah sama ada pada diri sendiri ataupun orang lain.

"...sebagai contoh gejala melayari web lucah, penipuan dalam talian, buli siber, gangguan seksual dalam talian dan macam-macam lagi. Perkara itu penting untuk kita sama-sama berwaspada," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan ke-108 PPPM dan Pelancaran Jualan Biskut Tabung PPPM Tahun 2024 di ibu negara.

Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Pesuruhjaya PPPM Datuk Yeoh Soo Keng.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI