KOTA BHARU, 17 November- Isu pemansuhan subsidi minyak masak paket sentiasa dibincangkan Kerajaan bagi mengatasi masalah ketirisan dan penyelewengan.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli bagaimanapun berkata jika dimansuhkan, terdapat risiko tertentu yang perlu diberi perhatian memandangkan Kerajaan membelanjakan puluhan juta ringgit bagi subsidi minyak masak.
“Perkara ini di bawah kawal selia Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup. Memang ada dibincangkan beberapa kali di peringkat Jemaah Menteri tapi saya ingat kita tunggu kepada keputusan KPDN yang mereka akan bentang pada Jemaah Menteri nanti pada masa yang sesuai.”
Beliau berkata ketika ini, pihak KPDN sedang melakukan proses semakan mengenai cara terbaik untuk memberikan subsidi minyak masak tanpa melibatkan ketirisan besar.
Menurutnya, di peringkat Kementerian Ekonomi, pihaknya perlu menunggu pembentangan di Kabinet dan berharap akan ada kaedah yang lebih baik dalam menyelesaikan isu berkenaan.
Rafizi berkata demikian dalam sidang media selepas Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke-13, (RMK13) Kementerian Ekonomi bersama Kerajaan Kelantan di Kompleks Darulnaim.
Media sebelum ini melaporkan, Kerajaan disaran memansuhkan minyak masak paket subsidi dan digantikan dengan bantuan kewangan kepada golongan sasar bagi menangani isu penyelewengan dan ketirisan.
Dalam perkembangan lain, beliau menjelaskan segala projek pembangunan di sempadan negara melibatkan negeri di utara, Sabah dan Sarawak sedang diperhalusi.
"Kita perlu membangunkan format dan model pembangunan terlebih dahulu. Daripada situ, barulah kita boleh tentukan jumlah peruntukan dan bagaimana pembangunan yang akan dilaksanakan," katanya.
Terdahulu, Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud dalam ucapannya berkata cadangan pembinaan tembok keselamatan dan kawalan banjir di Rantau Panjang-Sungai Golok memerlukan kos anggaran lebih RM445 juta termasuk bagi pengambilan tanah.