
MUALLIM, 28 Mac – Kerajaan Negeri Perak menyambut baik langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengadakan pertemuan bersama Menteri Besar, Ketua Menteri dan Premier bagi membincangkan perkembangan semasa ekonomi negara.
- Pendekatan pertemuan penting supaya pandangan peringkat negeri diambil kira dalam merangka langkah menghadapi cabaran ekonomi global.
- Kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri diperlukan supaya keputusan lebih menyeluruh dan memberi manfaat kepada rakyat.
- Langkah penjimatan negeri perlu dilaksanakan berhemah, mengambil kira kesan terhadap rakyat dan peniaga supaya tidak menjejaskan pendapatan mereka.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan pandangan di peringkat negeri dapat diambil kira dalam merangka langkah menghadapi cabaran ekonomi global.
Menurut beliau, kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri amat diperlukan supaya setiap keputusan yang dibuat lebih menyeluruh serta memberi manfaat kepada rakyat.
“Saya percaya Perdana Menteri memanggil pertemuan ini bagi mendapatkan pandangan semua pihak, termasuk kepimpinan negeri dan juga parti politik.
“Ini bukan masanya untuk saling menuding jari kerana sesiapa sahaja yang mentadbir akan berdepan cabaran sama, justeru semua pihak perlu bersama-sama menghadapinya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan langkah penjimatan yang diambil kerajaan negeri perlu dilaksanakan secara berhemah dengan mengambil kira kesan terhadap rakyat dan peniaga supaya tidak menjejaskan sumber pendapatan mereka.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Projek Rumah Perakku, Kota Malim Prima di daerah Muallim, pagi tadi.
Semalam, Perdana Menteri memaklumkan akan mengadakan pertemuan dengan semua kepimpinan negeri termasuk yang ditadbir pembangkang bagi mencari penyelesaian terhadap kesan konflik Asia Barat ke atas ekonomi negara.
Pertemuan tersebut dijangka berlangsung minggu hadapan.