IPOH, 15 Disember - Sebanyak 39,259 kes kemalangan jalan raya direkodkan bagi tempoh Januari hingga November 2025 di Perak.
Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, jumlah tersebut menurun berbanding 40,016 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
Jelasnya, penurunan sebanyak 757 kes itu bersamaan dua peratus, sekali gus menunjukkan trend keseluruhan kemalangan jalan raya yang semakin menurun.
"Walaupun statistik menunjukkan penurunan kes kemalangan, kita tetap memandang serius kepada peningkatan kes mengikut kategori kenderaan seperti motosikal, bas dan lori.
"Keselamatan pengguna jalan raya kekal sebagai keutamaan, dan langkah-langkah intervensi akan terus dilaksanakan bagi mengekang tragedi," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya Bersama Warga UNISEM di Simpang Pulai di sini.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan usaha penguatkuasaan dan advokasi keselamatan jalan raya akan terus diperkukuh bagi mengurangkan kadar kemalangan di negeri itu.