RIYADH, 15 Disember - Kepakaran dan pengalaman yang dimiliki Malaysia boleh dimanfaatkan bagi memperkukuh Kerjasama Selatan–Selatan (SSC).
Pengarah United Nations Office for South-South Cooperation (UNOSSC), Dima Al-Khatib berkata kelebihan seumpama itu membolehkan Malaysia berkongsi kepakaran praktikal dan pengalaman yang relevan untuk membantu negara lain membangun secara mampan.
Beliau berkata peluang pembangunan bersama dalam kalangan negara membangun juga dapat diperluas menerusi ASEAN yang disifatkan platform serantau utama.
"Malaysia memiliki kepakaran dalam pelbagai sektor termasuk pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), industri halal, teknologi digital dan pengurusan ketahanan iklim. Pengalaman ini boleh dijadikan model untuk negara lain melalui pertukaran pengetahuan dan latihan praktikal.
“Pengalaman Malaysia dalam mengurus pembangunan PKS, Industri dan persijilan Halal serta transformasi digital menyediakan asas yang kukuh bagi negara membangun yang ingin meningkatkan kapasiti mereka.
"Momentum 2025 adalah persidangan antarabangsa ini berlangsung pada 9–11 Disember dan menumpukan kepada hala tuju pembiayaan pembangunan, anjuran National Development Fund (NDF),”katanya kepada media pada Persidangan Momentum 2025 di Riyadh, semalam.
Jelasnya, menerusi program kerjasama teknikal sebelum ini, Malaysia berkongsi pengetahuan teknikal, polisi pembangunan dan amalan terbaik yang terbukti berjaya, membolehkan negara rakan menyesuaikan pengalaman tersebut mengikut konteks masing-masing.
Dima menegaskan bahawa cabaran global seperti kemiskinan, perubahan iklim dan revolusi teknologi memerlukan kerjasama praktikal antara negara membangun, di mana Malaysia memainkan peranan penting dalam menyediakan penyelesaian yang relevan dan berkesan.
Terdahulu, lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke beberapa negara di selatan Afrika turut menekankan komitmen Malaysia dalam mengukuhkan kesatuan SSC, membuka ruang untuk perkongsian teknologi, pembangunan kapasiti, dan pengalaman praktikal yang relevan untuk negara-negara Afrika Selatan.