fb fb fb fb fb

Perak peruntuk RM700 ribu laksanan Dasar Pembangunan Sukan OKU

IPOH, 6 April- Sebanyak RM700,000.00 diperuntukkan kerajaan Perak untuk melaksanakan Dasar Pembangunan Sukan Orang Kurang Upaya (OKU), sekali gus muncul negeri pertama melaksanakan dasar itu.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata pelaksanaannya diharap dapat memperkasakan pembangunan sukan untuk golongan berkenaan dengan penglibatan menyeluruh daripada semua pihak.

"Ada sebahagian daripada fasiliti-fasiliti sukan kita kelihatan tidak mesra OKU, kita nak buat fasiliti yang berasingan akan menambah belanja kadang-kadang sama sahaja keperluan itu, tak boleh buat tempat yang berbeza tapi di tempat yang sama kita menyediakan fasiliti yang mesra kepada OKU" jelasnya selepas melancarkan Dasar Pembangunan Sukan Orang Kurang Upaya (OKU) di Bangunan Darul Ridzuan, di sini.

Saarani menjelaskan usaha itu juga dapat menyediakan fasiliti lebih kondusif untuk pembangunan sukan golongan OKU.


(Datuk Saarani dalam sidang media Majlis Pelancaran Dasar Pembangunan Sukan
Orang Kurang Upaya (OKU) di Bangunan Darul Ridzuan)

Ketika berucap pada majlis pelancaran itu, Sarani berkata dasar pembangunan sukan OKU itu melibatkan enam strategi iaitu "Memperkukuhkan Struktur Pentadbiran Atlet Para Negeri Perak, Memperkasakan Program Pembangunan Atlet Para, Memantapkan sistem kejurulatihan & Kepegawaian, Pelaksanaan Penganjuran dan Penyertaan Kejohanan, Menyediakan Kemudahan dan Fasiliti Sukan dan Meningkatkan Kerjasama Strategik Antara Agensi."

Penghujung tahun lalu, Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata, dasar tersebut sedang di peringkat akhir untuk diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Katanya, dasar itu adalah inisiatif kerajaan Perak bagi memastikan kesaksamaan hak, peluang dan kepentingan OKU khususnya dalam bidang sukan lebih terjamin seperti ditetapkan bawah Akta Orang Kurang Upaya 2008 dan Dasar Orang Kurang Upaya.

Media Baharu