fb fb fb fb fb

Perak laksana sistem pemetaan utiliti bawah tanah elak tanah jerlus

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad/Foto RTM

IPOH, 26 Ogos-Koridor Utiliti Darul Ridzuan (KUDR) bakal diberi tanggungjawab untuk menyelaras dan menyusun sistem pemetaan utiliti bawah tanah khususnya bagi projek-projek baharu di negeri berkenaan.

Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, badan itu akan menjadi One Stop Agency (OSA) bagi pengurusan utiliti lebih terancang di negeri itu.

Jelas Saarani, kerajaan negeri mengambil iktibar kejadian tanah jerlus yang berlaku di Kuala Lumpur baru-baru ini selain sentiasa bersedia mengelak sebarang kemungkinan yang bakal berlaku.

"Kita mengambil iktibar apa yang berlaku di Kuala Lumpur sebab kita sebenarnya tidak tahu apa yang telah berlaku sebelum ini. Macam kes yang berlaku di situ (Masjid India) hanya orang lama tahu barang kali apa yang dibina di bawah tanah itu.

"Tapi di Perak kita dah ada KUDR untuk pembangunan baharu melibatkan pemetaan bawah tanah untuk tahu kabel utiliti termasuk juga tanah jerlus. Itu tujuannya KUDR itu," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Politeknik Ungku Omar (PUO) ke-52 Tahun 2024 di PUO di sini.

Sabtu lalu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyarankan agar agensi terlibat serta syarikat utiliti bekerjasama dalam membuat pemetaan utiliti bawah tanah, bagi mengelakkan insiden tidak diingini berlaku terutama ketika pembangunan sesuatu projek.

Pemetaan utiliti itu penting, bagi melihat keadaan di bawah tanah dengan kebanyakannya mempunyai saluran perpaipan dan kabel elektrik, yang ada kalanya tidak dipetakan pihak utiliti.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD