fb fb fb fb fb

Kes seludup diesel di Sibu: KPDN sedia beri kerjasama

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali (tengah) /Foto RTM

MIRI, 26 Ogos-Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, KPDN akan memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes tangkapan lima individu disyaki terbabit sindiket penyeludupan 1.6 juta liter minyak diesel di Sibu.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan isu penyeludupan dan ketirisan barang bersubsidi.

"Kita di KPDN akan memberi Kerjasama yang rapat kepada SPRM untuk memastikan siasatan terperinci dapat dibuat untuk menentukan bahawa kes ini akan berakhir dengan pendakwaan di Mahkamah kepada pihak-pihak yang terlibat dalam isu penyeludupan ini dan siasatan itu akan melibatkan semua rantaian ,sama ada penyeludupnya ,sumber bekalan bahan api itu , sama ada terlibat stesen-stesen minyak ataupun mana-mana pihak yang disyaki bersubahat dengan memberikan perlindungan kepada sindiket ini.

"Seperti kita tahu sindiket ini telah pun dipercayai berlarutan sejak lebih sepuluh tahun yang lalu", katanya dalam sidang media selepas Mempengerusikan Mesyuarat Bersama Agensi-Agensi dan Orang Awam Bagi Membanteras Ketirisan Barang Kawalan Bersubsidi di sini.

Semalam (Ahad), SPRM menahan tiga lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 30 hingga 60-an disyaki terbabit penyeludupan minyak diesel bersubsidi milik persatuan nelayan serta membayar rasuah kepada penguat kuasa sebagai balasan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan.

Serbuan oleh SPRM dan KPDN di sebuah depoh penyimpanan minyak di Sungai Bidut, Sibu turut menyita dua tongkang, serta 30 tangki minyak membabitkan 1.6 juta liter diesel serta wang tunai RM3.7 juta.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD