fb fb fb fb fb

Perak komited perluas akses rawatan kesihatan untuk warga emas

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed

SERI ISKANDAR, 29 Oktober- Perak komited dalam memperluaskan akses rawatan kesihatan khususnya bagi golongan warga emas, ibu mengandung dan golongan yang memerlukan rawatan khas. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata Perak kini sedang menuju ke arah negeri menua apabila sebanyak 14 peratus penduduk di negeri itu kini berumur 60 tahun ke atas.

Menurut beliau, kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan termasuk klinik-klinik swasta sedang dilaksana dalam memastikan setiap lapisan masyarakat termasuk warga emas, tidak tercicir daripada menerima perkhidmatan kesihatan yang sewajarnya.

"Kami di bawah agensi, sama ada di Sekretariat Wanita mahupun mana-mana agensi lain, turut mengambil pendekatan untuk membawa rakan-rakan strategik termasuk klinik-klinik swasta untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan.

"Sekiranya cadangan untuk menyediakan akses yang lebih singkat kepada warga emas di hospital dilaksanakan, sudah tentu saya menyokongnya 100 peratus. Saya juga berpendapat banyak hospital sudah mula memberikan kemudahan ini kepada warga emas dan ibu mengandung bagi memastikan mereka mendapat perkhidmatan dengan lebih cepat," kata Datuk Salbiah kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Negeri Perak 2025 yang diadakan di Rumah Seri Kenangan (RSK) Seri Iskandar, hari ini.

Tambah beliau, Program Warga Emas (WEFit) dilaksanakan di bawah Program Santunan Kasih, Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak di tujuh lokasi iaitu di Gerik, Selinsing, Trong, Behrang, Pengkalan Baharu dan Chenderoh pada 14 September hingga 16 Oktober 2025 yang lalu.

Program tersebut membolehkan warga emas melaksanakan saringan kesihatan melibatkan Ujian Komposisi Badan (InBody), Jisim Otot Rangka (Muscle Mass) dan Kekuatan Otot Lutut dan (Knee Extension).

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM