fb fb fb fb fb

KPDN, JAIM Melaka bongkar penipuan logo halal premis jual daging

Foto KPDN Melaka

AYER KEROH, 29 Oktober- Taktik penipuan logo halal di sebuah premis penjualan daging sejuk beku di sekitar Ayer Keroh, Melaka, berjaya dibongkar pihak berkuasa.

Operasi serbuan dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Premis berkenaan dikesan mempamerkan logo halal pada papan tanda mereka, namun pemiliknya disahkan bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah.

Pengarah KPDN Melaka, Dr. Mohd Hazimin Jamaludin mendedahkan hasil pemeriksaan lanjut menemukan sebanyak 28.85 kilogram produk daging pelbagai bahagian yang menggunakan logo halal tidak sah.

Kesemua produk daging berkenaan dianggarkan bernilai RM7,802.

Pemilik premis juga didapati gagal mengemukakan sijil halal yang sah semasa pemeriksaan dijalankan.

Kes tersebut disiasat bawah Perintah 4 (1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730), yang membawa hukuman terhadap penggunaan perihal halal yang mengelirukan.

Selain isu halal, premis tersebut turut dikenakan kompaun di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 kerana menggunakan alat timbang elektronik yang didapati tidak ditentusahkan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM