fb fb fb fb fb

Perak jamin kenaikan gaji dinikmati penjawat awam negeri

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani pada Majlis Pelancaran Pakej Kembara Mesra Muslim Sempena Tahun Melawat Perak 2024 di sini pada Selasa/ BERNAMA

IPOH, 21 Ogos- Penjawat awam di Perak dijangka akan turut menerima kenaikan gaji seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di peringkat persekutuan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, beberapa pengubahsuaian akan dilaksanakan bersesuaian dengan kedudukan kewangan kerajaan negeri.

Menurutnya, kenaikan gaji penjawat awam itu sudah pasti akan memberikan implikasi kewangan tetapi kerajaan negeri akan mencari sumber kewangan untuk memastikan ia tetap dilaksanakan.

"Sudah tentu akan ada implikasi kewangan. Mahu tidak mahu kita kena cari peruntukan kewangan. Selama ini pun macam itu jugalah. Jadi Insya-Allah ada, rezeki orang masing-masing," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pakej Kembara Mesra Muslim Sempena Tahun Melawat Perak 2024 di sini pada Selasa.

Saarani sebelum ini berkata, kenaikan gaji penjawat awam di Perak akan membabitkan implikasi kewangan yang besar berikutan jumlah kakitangan di negeri itu berjumlah hampir 9,000 orang.

Pada 16 Ogos, Anwar mengumumkan pelarasan gaji bagi penjawat awam secara berfasa sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional manakala pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi adalah sebanyak tujuh peratus.

Sementara itu, Saarani berkata potensi industri pelancongan Islam sangat menggalakkan dan dari segi nilai, pasaran ini dijangka mencapai USD300 bilion menjelang 2026, meningkat dari USD220 bilion ketika ini.

Justeru beliau mengalu-alukan usaha dilakukan bagi menarik pelancong menerusi Pakej Kembara Mesra Muslim Sempena Tahun Melawat Perak 2024.

"Perak menawarkan pelancongan muslim menarik termasuk Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar; Masjid Tuminah Hamidi, Bagan Datuk; Masjid Seribu Selawat di Pangkor, dan Masjid Cina di Tasek Ipoh.

“Kalau masjid ini dijadikan sebagai destinasi pelancongan tentu sekali ia akan menarik pelancong sebab tiap-tiap masjid itu ada keunikan yang tersendiri, sama ada pengisian masjid atau reka bentuk masjid ataupun sejarah, dan itu satu contoh produk yang diminati sekarang.

“Jadi kerana itu kita anjurkan pelancongan muslimkalau ia betul-betul kita mempromosikannya daripada jutaan bilangan pelancong Islamik ini, kalau separuhnya boleh singgah di Perak ia akan memberi pulangan yang lumayan kepada pengiat hotel dan pelancongan," katanya.

ZEHRA BINTI ZAMBRI