fb fb fb fb fb

Perairan tercemar di Port Dickson, orang ramai dinasihat tidak makan kerang

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 11 Ogos- Orang ramai dinasihatkan untuk tidak memakan kerang dari kawasan perairan tercemar, susulan berisiko menyebabkan keracunan seawal 30 minit.

Profesor Institut Sains Samudera dan Bumi (IOES) Universiti Malaya (UM), Profesor Dr. Lim Po Teen dalam satu kenyataan berkata keracunan kerang-kerangan bertoksin (PSP) akan menyebabkan kebas pada bibir dan lidah, kelumpuhan dan kegagalan pernafasan.

Jelasnya, toksin yang dikenali sebagai Saxitoxin merupakan sejenis neurotoksin kuat sekali gus adalah punca kepada keracunan.

"Sesiapa yang mengalami simptom ini perlu segera mendapatkan rawatan perubatan.

Hanya 2 miligram (mg) Saxitoxin sudah cukup untuk membunuh orang dewasa," katanya dalam kenyataan media.

Minggu lalu, Jabatan Perikanan Negeri Sembilan telah mengeluarkan satu larangan kepada nelayan untuk tidak mengutip kerang termasuk kupang di perairan Port Dickson kerana tahap biotoksin yang melebihi paras selamat.

Profesor Dr. Lim yang juga Naib Presiden Persatuan Antarabangsa bagi Kajian Alga Berbahaya menegaskan pemantauan secara berkala oleh Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) penting untuk mengesan letusan alga berbahaya lebih awal.

Langkah itu dapat menghalang kerang tercemar daripada dipasarkan serta melindungi kesihatan awam.

"Kes PSP bukanlah perkara baharu di Malaysia, dengan kejadian pertama direkodkan pada
tahun 1970-an. Kejadian seumpama ini berlaku setiap tahun di banyak negara lain," tambah kenyataan itu.

Di peringkat global, kejadian letusan alga berbahaya semakin meningkat akibat pemanasan lautan, perubahan iklim dan eutrofikasi pesisir pantai yang disebabkan oleh pelepasan nutrien seperti nitrogen dan fosforus.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM