Penyasaran subsidi perlu lindungi kebajikan rakyat

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 2 November – Penyasaran subsidi perlu dilaksana secara seimbang agar usaha memperkukuh fiskal negara tidak membebankan rakyat, khususnya golongan rentan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gunakan teknologi seperti kecerdasan buatan untuk memperkemas penyasaran subsidi agar bantuan tertumpu kepada golongan memerlukan.
  • Penilaian Belanjawan 2027 mesti ambil kira pelaburan tenaga hijau, perlindungan subsidi kepada susah dan jaminan keselamatan makanan.
  • Pelaburan dalam tenaga solar memberi manfaat jangka panjang dan peluang ekonomi melalui penghasilan serta penjualan tenaga elektrik.

Penasihat Penyelidik Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram berkata, cabaran ekonomi dan kenaikan harga ketika ini dirasai sebahagian besar rakyat sekali gus memerlukan pendekatan bantuan yang lebih bersasar tanpa menjejaskan kebajikan golongan memerlukan.

“Sekiranya subsidi tidak dihadkan, beban kewangan kerajaan akan terus meningkat sehingga menjejaskan keupayaan untuk menyalurkan bantuan subsidi kepada pihak lain.

“Ini kerana kerajaan perlu memastikan subsidi bagi sektor penting seperti kesihatan dan pendidikan terus disediakan bagi membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat,” katanya ketika menjadi tetamu program Biz Malaysia, di sini, hari ini.

Penggunaan teknologi misalnya kecerdasan buatan (AI) boleh membantu memperkemas penyasaran subsidi agar bantuan lebih tertumpu kepada golongan yang memerlukan.

Dalam menentukan keberkesanan Belanjawan 2027, beliau berkata, penilaian tidak seharusnya tertumpu kepada angka fiskal semata-mata.

Sebaliknya perlu mengambil kira pelaburan dalam tenaga hijau, perlindungan subsidi kepada golongan susah serta jaminan keselamatan makanan.

Pelaburan dalam penjanaan tenaga solar bukan sahaja penting untuk jangka panjang, malah berpotensi membuka peluang ekonomi kepada masyarakat menerusi penghasilan dan penjualan tenaga elektrik.

Jaminan bekalan makanan serta usaha memperbaiki pemakanan rakyat juga perlu diberi perhatian bagi memastikan pembangunan ekonomi negara turut meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.