KUALA LUMPUR, 12 November- Kos sara hidup rakyat meningkat kononnya disebabkan kenaikan kos pengangkutan berikutan langkah penyasaran subsidi diesel adalah tidak benar.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh memaklumkan, ia tidak berlaku memandangkan ia sudah sedia diserap melalui beberapa inisiatif dilaksanakan kerajaan khususnya BUDI MADANI.
"Saya ingin betulkan sedikit, kerana apabila kita menyasarkan subsidi diesel ini kita sudah pun mengambil kira kos pengangkutan. Kos pengangkutan itu akibat penyasaran subsidi itu tidak seharusnya naik kerana kita ada BUDI MADANI.
"Kita ada BUDI MADANI individu kita ada BUDI Agri-Komoditi dan kita ada kad fleet. Jadi kos pengangkutan akibat penyasarsan subsidi sudah diserap," katanya.
Beliau menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Setiu Tuan Shaharizukirnain Abd. Kadir berkenaan indikator baharu akan ditetapkan oleh kementerian bagi mengukur kos sara rakyat dan mekanisme yang disediakan bagi menangani kos sara hidup rakyat luar bandar khususnya akibat peningkatan kos pengangkutan susulan penyasaran subsidi bersasar.