fb fb fb fb fb

Penyasaran subsidi diesel: Kerajaan beri amaran jangan ambil kesempatan naikkan harga barangan

FOTO BERNAMA

PUTRAJAYA, 12 Jun- Kerajaan memberi peringatan kepada sektor yang tidak menerima atau tidak layak menerima subsidi diesel supaya tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga.

Menurut Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, perkara itu diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk mengambil tindakan tegas jika ada pihak yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga barang.

"Kita telah meneliti kenyataan daripada Menteri KPDN semalam mengenai sektor pembinaan yang rata-rata orang ramai termasuk netizen telah memuat naik gambar surat atau pemakluman di mana mereka mengatakan beberapa produk atau perkhidmatan yang mereka sediakan akan mengalami kenaikan kos atas alasan mereka tidak lagi menerima subsidi diesel tetapi bila disemak mereka memang sebelum ini tidak layak menerima subsidi diesel.

"Jadi di sini kita lihat ada isu-isu yang telah dibangkitkan dan kita serah kepada KPDN untuk mengambil tindakan tegas,"katanya.

Menggulas mengenai isu sejumlah pengusaha van dan bas pelancong yang meminta supaya mereka turut diberikan subsidi diesel, Fahmi berkata, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Kementerian Pengangkutan (MOT) diminta supaya meneliti, menyantuni serta membantu kumpulan berkenaan.

Tambahnya Perdana Menteri juga meminta agar isu berkaitan kad ‘fleet’ diteliti termasuk menyegerakan edaran kad berkenaan.

Dalam perkembangan berlainan, Fahmi memberitahu Jemaah Menteri mengambil maklum kenyataan yang dibuat beberapa pihak berkaitan beberapa perkara mengenai hubungan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri. 

Beliau berkata, Malaysia terbentuk atas persetujuan semua negeri berlandaskan prinsip federalisme yang menjadi teras utama dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Jelasnya pembangunan dan kemajuan negara adalah berteraskan kekuatan Persekutuan bersama kesemua Negeri. 

"Oleh itu, Perlembagaan Persekutuan menjadi asas dalam menjamin hak negeri dan dalam menentukan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan-kerajaan Negeri, berkait perkara-perkara mengenai Sabah dan Sarawak, perbincangan-perbincangan ini adalah berpandukan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963.

Beliau bercakap demikian dalam sidang mingguan Menteri Komunikasi di Putrajaya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE