PUTRAJAYA, 23 Jun- Isu berkaitan penyasaran subsidi diesel antara perkara yang dibincangkan dalam pramesyuarat bagi persidangan Dewan Rakyat Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 yang bermula esok hingga 18 Julai.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, turut dibincangkan beberapa perkara berkaitan rang undang-undang (RUU) yang akan dibahaskan semasa sidang Parlimen.
"Ini mesyuarat pre-council yang biasa untuk setiap sidang Parlimen. Sudah tentu diberikan taklimat berkenaan isu-isu semasa, beberapa pembentangan RUU.
"Yang paling penting adalah penyasaran subsidi diesel, diberikan penerangan dan sebagainya kepada ahli-ahli Parlimen supaya mereka bersedia dalam perbahasan nanti di Parlimen dan juga apa agenda perundangan kita termasuklah beberapa pindaan undang-undang dan sebagainya", katanya pada sidang media Majlis Penutup Program Pendidikan Kepimpinan Politik Anjuran Wanita DAP di Putrajaya.
Terdahulu, beberapa Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan hadir ke Mesyuarat Pre-Council yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pukul 4.00 petang tadi.
Persidangan Dewan Rakyat Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 bakal berlangsung esok sehingga 18 Julai.