fb fb fb fb fb

Penunggang motosikal maut langgar belakang 4WD di Jalan Lutong–Kuala Baram

Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan selepas dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Lutong–Kuala Baram, pagi tadi/Foto PDRM

MIRI, 7 Disember – Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan selepas dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Lutong–Kuala Baram, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Miri, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Mohd Farhan Lee Abdullah berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 10 pagi.

0712 SWK PENUGGANG MAUT 2Kemalangan melibatkan seorang penunggang motosikal lelaki warga tempatan berusia 22 tahun/Foto PDRM

“Kemalangan melibatkan seorang penunggang motosikal lelaki warga tempatan berusia 22 tahun dan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 53 tahun.

"Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati penunggang motosikal yang datang dari arah Lutong menuju ke Miri telah melanggar bahagian belakang kenderaan pacuan empat roda yang sedang bergerak di laluan yang sama,” katanya dalam kenyataan.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan. Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Faizul Ab. Rahim di talian 014-8582582 atau 085-430479, atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN