(Penunggang motosikal yang tersebut tercampak sejauh empat meter, disahkan
meninggal dunia oleh petugas kesihatan)
SEGAMAT, 14 Julai- Seorang lelaki berumur 24 tahun maut selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di KM2, Jalan Muar-Labis, Segamat, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah memaklumkan, pemandu kereta terlibat, cedera parah di bahagian pinggang dan tangan, kini menerima rawatan di Hospital Segamat.
"Siasatan awal mendapati kereta berkenaan bergerak dari arah Labis ke Muar di kawasan ladang kelapa sawit, sebelum hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.
"Insiden itu menyebabkannya bertembung dengan motosikal mangsa yang datang dari arah Muar," katanya.
Penunggang motosikal yang tersebut tercampak sejauh empat meter, disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan.
Seramai sepuluh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Labis, digerakkan ke lokasi bagi mengeluarkan mangsa terlibat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 ( 1 ) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
(Penunggang motosikal maut bertembung kereta)