GERIK, 11 Disember -Seorang lelaki cedera ringan selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh seekor gajah di Kilometer 31, Jalan Raya Timur-Barat Gerik–Jeli berhampiran Tasik Banding, malam tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman, kejadian berlaku sekitar pukul 9.00 malam, ketika mangsa berusia 36 tahun itu, dalam perjalanan pulang ke rumah dengan menunggang motosikal.
"Mangsa dikatakan ternampak seekor gajah berada di atas jalan dan cuba mengelak, sebelum berlaku pelanggaran. Mangsa kemudian bangun dan melarikan diri, manakala haiwan itu bertindak merosakkan motosikal berkenaan," menurut kenyataan itu.
Mangsa dirawat di Hospital Gerik, sementara motosikalnya mengalami kerosakan pada beberapa komponen kenderaannya.
Orang ramai yang menggunakan laluan Jalan Raya Timur-Barat dinasihatkan supaya lebih berhati-hati kerana dikhuatiri terdapat hidupan liar melintas di kawasan berkenaan.