fb fb fb fb fb

Penumpang dinasihat berada di KLIA sekurang-kurangnya empat jam sebelum berlepas- MAHB

Foto Hiasan/ BERNAMA

SEPANG, 22 Disember- Penumpang yang ingin melakukan penerbangan domestik dan antarabangsa dinasihat tiba awal ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi mengelak kelewatan.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam kenyataannya berkata ini disebabkan peningkatan jumlah penumpang ketika musim cuti perayaan.

Jelasnya, jika kehadiran awal, ia membolehkan penumpang menavigasi melalui proses daftar masuk, keselamatan dan menaiki pesawat dengan kelewatan yang minimum.

Kenyataan turut memaklumkan jangkaan purata jumlah harian penumpang bagi Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA masing-masing sebanyak 79,200 dan 66,400 sehingga akhir tahun ini.

Tambah MAHB pada masa ini, Terminal 1 KLIA sedang menaik taraf sistem pengendalian bagasi sebagai sebahagian daripada program penggantian asetnya untuk meningkatkan kecekapan operasi.

“Naik taraf ini merupakan inisiatif penting untuk mengekalkan dan menambah baik keseluruhan infrastruktur lapangan terbang dan kerja-kerja yang berterusan boleh membawa kepada masa pemprosesan tambahan di pelbagai tempat dalam lapangan terbang,” katanya.

Penumpang digalakkan untuk bekerjasama dengan kakitangan dan syarikat penerbangan dalam tempoh ini dan memberi masa tambahan untuk menampung sebarang kelewatan yang tidak dijangka.

“Malaysia Airports menghargai kerjasama dan kesabaran semua penumpang dan kerja naik taraf ini penting dilaksanakan untuk memastikan pengalaman perjalanan yang lebih selamat dan cekap dalam jangka masa panjang,” menurut kenyataan itu.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI