fb fb fb fb fb

Penubuhan RCI kes Batu Puteh elak isu sama berulang - Azalina

Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kes kedaulatan Batu Puteh bukan sahaja bertujuan mengkaji pengendalian kes, malah mengelakkan isu sama dari berulang / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 20 Mac - Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kes kedaulatan Batu Puteh bukan sahaja bertujuan mengkaji pengendalian kes, malah mengelakkan isu sama dari berulang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata menerusinya, maklumat terperinci akan dikumpul bagi mengenal pasti punca isu persempadanan itu.

Beliau berkata, di bawah undang-undang bertulis itu juga, individu yang dipanggil bagi tujuan siasatan boleh dikenakan tindakan sekiranya gagal hadir untuk memberikan kerjasama.

"Sebelum kita menuduh kita kena dapat semua maklumat dan mereka yang dipanggil wajib hadir memberi maklumat yang terbaik supaya kita tahu apa sebenarnya yang berlaku dan supaya perkara ini tidak berulang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh di Dewan Negara.

Azalina turut menzahirkan komitmen Kerajaan MADANI untuk membentang hasil siasatan tersebut ke Parlimen sebaik selesai bagi memberi gambaran sebenar mengenai kes kedaulatan Batu Puteh kepada ahli dewan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN