KUALA LUMPUR, 23 Jun - Buat julung kalinya, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperkenal kempen penstrukturan pinjaman dengan kadar serendah RM300 sebagai inisiatif menggalakkan peminjam menyelesaikan pembayaran mereka yang tertunggak.
PTPTN memaklumkan kempen selama dua bulan bermula 1 Jun lepas hingga 31 Julai ini terbuka kepada semua peminjam yang mempunyai tunggakan sama ada pinjaman konvensional atau ujrah.
"Peminjam perlu membuat bayaran tunggakan serendah RM300 sahaja untuk penstrukturan semula pinjaman dan diwajibkan membuat potongan gaji atau debit terus sebagai kaedah bayaran balik bagi memastikan peminjam dapat membuat bayaran balik secara konsisten dan teratur.
"Dalam tempoh kempen ini, peminjam juga boleh membuat rundingan bayaran balik yang lain seperti pertukaran ujrah, penggabungan pinjaman dan penjadualan," menurut PTPTN menerusi kenyataan.
Sementara itu, Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim memaklumkan kempen penstrukturan pinjaman itu akan dapat membantu mengurangkan dan mencapai tunggakan sifar sekali gus memperbaiki rekod kredit peminjam.