fb fb fb fb fb

Penjenamaan semula tabung wakaf, perkukuh tadbir urus dan kutipan

Tabung Wakaf Masjid Pulau Pinang (TWMPP) dijenamakan semula daripada Tabung Sumbangan Masjid

KEPALA BATAS, 23 Disember - Tabung Wakaf Masjid Pulau Pinang (TWMPP) dijenamakan semula daripada Tabung Sumbangan Masjid bagi memperkukuh pengurusan wakaf serta pemilikan aset umat Islam di negeri itu, sekali gus dilihat mampu memperkasa peranan masjid bukan sahaja sebagai pusat ibadah, malah sebagai pemangkin pembangunan sosioekonomi ummah.

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang merangkap Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, penjenamaan semula tersebut penting bagi memastikan garis panduan pengurusan yang lebih tersusun, seterusnya menajmin tadbir urus wakaf dilaksanakan secara telus dan berkesan.

"Dengan memperkasa urus tadbir yang diuruskan oleh setiap masjid daerah secara lebih sistematik, masjid-masjid qariah dapat didedahkan tentang kepentingan menyalurkan 10 peratus daripada kutipan Tabung Jumaat sebagai wakaf, seperti yang difatwakan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang pada 2019.

"Langkah ini membolehkan kutipan yang meningkat kepada puluhan juta digunakan untuk menambah milik hartanah umat Islam, yang pengurusannya akan diputuskan oleh Mesyuarat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang,"katanya selepas merasmikan pelancaran penjenamaan Tabung Wakaf Masjid Pulau Pinang, bersempena program Majlis Pentauliahan Jawatankuasa Kariah Negeri Pulau Pinang Sesi 2026-2028 di Dewan Millenium, di sini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Wakaf MAINPP, Abdul Mohsein Mohd Shariff dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP), Datuk Marzuki Hassan.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2019, TWMPP berjaya mengumpul sebanyak RM2.25 juta sehingga 30 November lepas dan berjaya merekodkan baki kutipan melebihi RM222,000 dan dijangka terus meningkat hasil kutipan berterusan.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN