fb fb fb fb fb

Kes dera pelajar tahfiz, polis Kedah telah lengkapkan kertas siasatan

Foto RTM

ALOR SETAR, 23 Disember- Polis Kedah telah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes seorang pelajar tahfiz yang dirotan seorang lelaki di sebuah maahad tahfiz di Sungai Kob, Kulim, Kedah, baru-baru ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata kertas siasatan sudah pun dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) semalam dan tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak yang menggariskan kesalahan membabitkan kesalahan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak.

Jelas Datuk Adzli, pihaknya memohon perintah 'Order To Investigate (OTI) bagi menahan lelaki tersebut.

Katanya, disebabkan mangsa di bawah umur, ia dirujuk kepada Child Interview Centre (CIC) bagi memastikan mangsa dapat memberikan keterangan secara konsisten ketika di mahkamah kelak.

"Walaupun kes ini pada peringkat awal diklasifikasikan di bawah Seksyen 323, pihak kami telah mengambil keterangan daripada ustaz yang disyaki terlibat. Keterangan tersebut telah direkodkan dan kertas siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) semalam."

"Setakat ini, rujukan telah dibuat sebanyak tiga kali dengan cadangan pertuduhan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak, iaitu berkaitan pengabaian kanak-kanak yang boleh menyebabkan kecederaan."

"Justeru, saya ingin memberi jaminan dan mengesahkan bahawa kertas siasatan kes ini telah dilengkapkan dan pihak kami kini menunggu keputusan lanjut daripada AGC," kata Datuk Adzli kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui pada sidang media di Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini.

Kejadian yang berlaku pada 29 September itu melibatkan seorang murid lelaki berusia 11 tahun.

Kejadian kira-kira pukul 2.00 pagi, itu berlaku apabila seorang lelaki berusia 26 tahun yang dipercayai warden maahad tahfiz berkenaan merotan murid tersebut kerana mengganggu murid lain yang sedang belajar.

Bapa murid tersebut kemudian membuat laporan polis pada 3 Oktober dan pada awalnya siasatan dijalankan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Pihaknya telah mendapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhubung kejadian itu dan telah menghantar bukti berkenaan kepada pihak pendakwa raya pada 18 Disember lepas.

Terdahulu, tular di laman media sosial satu video berdurasi 48 saat yang memaparkan seorang murid lelaki yang dilihat sedang menahan kesakitan ketika dirotan oleh seorang lelaki di dalam bilik asrama di hadapan rakan-rakannya yang lain.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM