SUNGAI PETANI, 23 Disember - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah merekodkan 1,071 kes melibatkan pelbagai kesalahan dengan nilai kompaun berjumlah RM867,350.
Ia bagi tempoh 1 Januari hingga 21 Disember; hasil pemeriksaan terhadap 110,252 premis.
Pengarahnya, Muhammad Nizam Jamaludin berkata selain itu pihaknya turut menerima 1,550 aduan membabitkan pelbagai kategori kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dalam tempoh yang sama.
Katanya, daripada jumlah itu, aduan tertinggi membabitkan 470 harga barangan, 236 barang kawalan, 302 transaksi dalam talian dan 17 aduan berkaitan stesen minyak selepas pelaksanaan Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).
"Daripada angka itu, di Alor Setar terdapat 30 kes melibatkan harga barang kawalan, timbang sukat dan AKHAP 2011.
"Di Sungai Petani, terdapat 22 kes melibatkan harga barang, timbang sukat dan perihal dagangan; di Kulim, 13 kes berkaitan kawalan harga; di Kubang Pasu, tiga kes; di Baling, dua kes; dan di Langkawi, lapan kes daripada 1,550 aduan yang diterima sepanjang tahun ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2025 di sini.
Tambahnya, sebanyak sembilan jenis barangan disenaraikan sebagai barang kawalan sepanjang pelaksanaan SHMMP Krismas di Kedah berkuat kuasa 23 Disember hingga 27 Disember ini.
Barangan berkenaan adalah daging kambing biri-biri bertulang import, kubis bulat import dari Indonesia dan China tidak termasuk Beijing, lobak merah, tomato, cili merah, lada benggala hijau, bawang merah besar, bawang kuning besar dan ubi kentang import dari China.