fb fb fb fb fb

Penjawat awam wanita digalak sertai SKSSR

Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat ditemui media ketika menghadiri Taklimat Penerangan dan Pendaftaran Pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) CUEPACS Gred Sarawak di Wisma PERKESO, Kuching

KUCHING, 14 Mac- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa semua penjawat awam wanita untuk mengambil Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) bagi melindungi masa depan mereka.

Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat, berkata skim itu penting kerana ramai penjawat awam wanita tidak menyedari bahawa walaupun mereka menerima gaji daripada kerajaan, peranan mereka sebagai suri rumah selepas waktu bekerja juga memerlukan perlindungan.

"Penjawat awam wanita mungkin rasa mereka sudah selamat kerana ada gaji tetap, tetapi jangan lupa, bila pulang ke rumah mereka adalah seorang suri rumah. Skim ini melindungi mereka daripada sebarang risiko di rumah sebab kadang-kadang, periuk belanga pun boleh 'terbang'," katanya.

Bawah SKSSR, wanita berusia bawah 55 tahun hanya perlu mencarum RM120 setahun, dan akan menerima faedah sekiranya berlaku kemalangan atau penyakit.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Taklimat Penerangan dan Pendaftaran Pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) CUEPACS Gred Sarawak di Wisma PERKESO, Kuching.

Program tersebut sebahagian daripada usaha CUEPACS untuk memperkasakan penjawat awam melalui latihan kemahiran selaras dengan peningkatan gaji yang telah dilaksanakan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE