KUCHING, 14 Mac- Orang ramai diingatkan agar berwaspada dan tidak terpedaya dengan akaun palsu yang menyamar sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri di media sosial.
Menerusi kenyataan di Facebook rasminya, Datuk Seri Nancy memaklumkan bahawa individu tidak bertanggungjawab itu dipercayai mempunyai niat jahat dan cuba memperdaya orang ramai dengan pelbagai taktik penipuan.
Beliau turut menyeru pengguna media sosial untuk melaporkan akaun palsu berkenaan.
Datuk Seri Nancy menegaskan, segala urusan rasmi dan pengumuman hanya disampaikan melalui akaun rasmi beliau yang disahkan dengan tanda biru.
"Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya dengan sebarang komunikasi yang meragukan serta sentiasa menyemak kesahihan sumber maklumat," menurut hantaran tersebut.