fb fb fb fb fb

Peningkatan kehadiran pelancong antarabangsa ke Malaysia dijangka berlaku

PETALING JAYA, 26 April - Seramai 204,927 pelawat dari Singapura memasuki negara ini melalui Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar Johor setakat semalam sejak sempadan negara dibuka pada 1 April lepas.

Ini menjadikan pelancong Singapura sebagai pelawat tertinggi memasuki Malaysia setakat ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Nancy Shukri berkata berdasarkan trend itu MOTAC optimis kedatangan pelancong antarabangsa ke Malaysia akan terus meningkat.

Jelasnya meskipun terdapat negara yang belum membuka sempadan aktiviti promosi tetap dilakukan bagi mempelbagaikan pilihan terhadap produk pelancongan negara.

“Pelancong Singapura akan lebih ramai dengan perayaan Hari Raya Aidilfitri yang (dijangkakan) lebih meriah. Mereka ingin melawat saudara mara di Malaysia dan ia merupakan berita baik buat ekonomi Malaysia,” kata Nancy di sini selepas melancarkan Program Duta Komuniti MyMOTAC, satu inisiatif di bawah Program Duta Komuniti Keluarga Malaysia yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 25 Mac lepas.

Beliau berkata fasa pertama Duta Komuniti MyMOTAC akan memberi fokus kepada kawasan pelancongan berisiko tinggi yang menjadi tumpuan orang ramai sempena cuti perayaan dan cuti sekolah seperti zoo, pusat beli-belah, taman tema, hotel dan muzium.

Katanya bagi memastikan keberkesanan dan kejayaan Duta Komuniti MyMOTAC, MOTAC akan menggerakkan semua Pejabat MOTAC negeri serta penggiat industri pelancongan, seni dan budaya untuk melaksanakan program itu mulai hari ini hingga 30 September.

Menurut Nancy, Duta-duta Komuniti MyMOTAC akan dibekalkan dengan kain lilit lengan sebagai pengenalan diri kepada orang awam dan akan bertugas secara sukarela di kawasan berisiko tinggi iaitu di tempat sesak dan tertutup.

(Nancy dalam satu sidang media)

"MOTAC juga sentiasa bersedia untuk memperluas Program Duta Komuniti MyMOTAC kepada subsektor lain di bawah sektor pelancongan, seni dan budaya bergantung kepada kesesuaian serta keperluan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau turut memohon sokongan dan kerjasama yang berterusan daripada para penggiat industri pelancongan, seni dan budaya supaya dapat bersama-sama kementerian dalam menjayakan Program Duta Komuniti MyMOTAC.

Dalam majlis sama, Nancy turut menyampaikan Sijil Pelantikan Duta Komuniti MyMOTAC kepada wakil pusat beli belah, taman tema, pusat konvensyen, hotel, Zoo Taiping, Zoo Melaka, muzium dan Istana Budaya.

Media Baharu